loading...
Dalam satu kemas kini di akaun Facebook rasmi FAM, Tunku Ismail yang mesra disapa TMJ menyatakan rasa terkilan apabila status dirinya sebagai pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) dijadikan sebagai umpan pihak tertentu untuk membuat tuduhan sedemikian.
Kata TMJ, beliau sudah mengarahkan FAM bersama Jawatankuasa Integriti dan Persatuan Pengadil untuk membuat siasatan ke atas sistem pengadilan yang disifatkan terlalu lemah dan mencurigakan.
Jika terbukti terdapat unsur rasuah, hukuman paling berat akan diambil ke atas pengadil terbabit.
Tambah TMJ, apa yang berlaku kini bukan perkara baharu kerana beliau sudah 'berperang' dengan isu ini sejak JDT baru diasaskan lagi.
"Perak mendapat penalti di saat akhir perlawanan ketika menentang T-Team, adakah silap saya? JDT dapat penalti, adakah salah saya sebab saya Presiden dan saya orang Johor?
"Selangor mendapat penalti ketika menentang Pahang, adakah salah saya juga? Kedah menerima kad merah sebab pemain mereka menumbuk kepala pemain T-Team, adakah salah saya? Liridon cedera, adakah salah saya? Beberapa tahun yang lepas, ada pasukan sedang meraikan jaringan gol dan pihak lawan memulakan terus perlawanan lantas menjaringkan gol, adakah ia salah saya juga?" tulis TMJ.
Apa yang lebih mengecewakan, banyak pihak dilihat tidak mengambil kisah akan pembaharuan dan usaha yang dilakukannya, sebaliknya lebih suka mengkritik.
"Majoriti penyokong lebih mementingkan perasaan sendiri daripada bola sepak tanah air. Bola sepak adalah milik rakyat. Beritahu saya apa yang anda inginkan. Dan itulah yang kami akan lakukan demi bola sepak Malaysia," ujarnya.
Semalam, kontroversi membabitkan pengadil kembali diperkatakan dalam perlawanan Liga Super antara Kedah dan T-Team, yang menyaksikan pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, menerima kad merah dan dibuang padang selepas pertembungan dengan pemain T-Team, Fakhrurazi.
Keputusan itu dibantah pemain dan penyokong Kedah yang mendakwa Fakhrurazi juga sepatutnya dilayangkan kad merah.
loading...
0 Response to "Kontroversi pengadil Salah sayakah -TMJ"
Post a Comment